Rabu, 11 Februari 2009

Menang Dalam Kelam

Ditulis oleh merang
WEDNESDAY, 11 FEBRUARY 2009 13:44

Dalam bola sepak, satu minit pun cukup bermakna. Dan itulah harga yang terpaksa dibayar oleh pasukan Perak setelah jaringan penyerang sensasi Kelantan, Mohd Norfarhan Mohamad pada minit ke-89 meranapkan impian Perak mengutip sekurang-kurang satu mata di tempat sendiri malam tadi.

Walau bagaimanapun, aksi barisan muda skuad bimbingan M.Karathu seharusnya diberi pujian tinggi apabila mempamerkan aksi bertenaga dihadapan penyokong setia Kejor Yop Kejor mereka. Tahniah buat pemain muda Perak kerana menunjukkan aksi permainan bola sepak bermutu tinggi biarpun pada suatu ketika ketinggalan 0-2 kepada Kelantan.

Aksi tiga pemain kelahiran Perak – Ahmad Azlan Zainal- Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahayuddin cukup dinantikan oleh penyokong setia Kejor Yop Kejor masakan tidak setiap kali bola di kaki mereka maka setiap kali itulah sorakan cercaan dilemparkan ke atas mereka.

Pengendali Kelantan, Peter Butler membuat rombakan besar-besaran pada posisi pertahanan apabila menyenaraikan pemain muda, Muhamad Zamri Ramli bergandingan bersama Ahmad Azlan Zainal, Rizal Fahmi dan Zairul Fitri Ishak setelah Daudsu Jamaluddin digantung perlawanan.

Manakala jentera tengah juga turut menyaksikan Butler mempertaruhkan Mohd Nafuzi Zain dan Ahmad Ezrie Shafizi bergandingan bersama Muhd Badhri Radzi dan Indra Putra Mahayuddin. Biarpun baru pertama kali diturunkan musim ini, ternyata persembahan Ahmad Ezrie cukup bagus menggerakan jentera tengah Kelantan.

Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 melalui rembatan kencang Norfarhan Mohamad menewaskan penjaga gol Perak, Megat Amir Faisal Al-Khalidi Ibrahim. Sedang anak buah M.Karathu dikejutkan dengan jaringan awal itu ketika mereka baru sahaja menyesuaikan diri dengan rentak permainan, Muhd Khalid Jamlus pula mencuri tumpuan penyokong Perak selepas itu. Berselang tujuh minit kemudian, Khalid Jamlus berjaya memastikan Kelantan selesa di depan apabila mudah merembat masuk menewaskan Megat Amir Faisal sekali lagi.

Aksi pantas corak permainan pasukan Perak akhirnya berjaya memerangkap barisan pertahanan Kelantan apabila penyerang muda mereka, Razali Umar Kandasamy mudah menewaskan Halim Napi dalam situasi satu lawan satu merapatkan jurang pada minit ke-35.

Sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan, pemain Perak sekali lagi mencuri tumpuan apabila penyerang, Shahrizal Mohd Saad berjaya menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan dalam situasi kelam kabut didepan pintu gol mudah merembat masuk menewaskan Halim Napi.

Aksi tempang pemain Kelantan mula terjelma setelah pemain muda Perak berjaya memberi tekanan melalui serangan bertali arus dari segenap penjuru padang. Gandingan Razali Umar bersama Shahrizal Saad dibantu Puvindran Naidu dan K.Thinagaran bagaikan diserang histeria melancarkan serangan menggila sedang benteng pertahanan Kelantan diketuai Ahmad Azlan terpaksa bekerja keras berkali ganda menahan asakan.

Tidak senang duduk Butler melihat aksi tidak konsisten pemain Kelantan apabila jentera tengah juga gagal berfungsi dengan sempurna, Gandingan Badhri Radzi bersama Indra Putra gagal menembusi benteng pertahanan Perak manakala prestasi goyah Muhd Khalid Jamlus memaksa Butler menggantikannya dengan Ramzul Zahini. Aksi keras pemain Kelantan mengundang padah apabila Ahmad Azlan, Nafuzi Zain , Muhamad Zamri dan Zairul Fitri dilayankan kad kuning pada perlawanan malam tadi.

Hampir keseluruhan permainan pada separuh masa kedua dikuasai oleh pemain Perak dengan Kelantan hanya sekali sekala sahaja mampu melancarkan serangan ke kubu Perak. Hanya rembatan meliar Badhri Radzi dan tandukan tersasar Norfarhan Mohamad sahaja yang mampu menerbitkan kegusaran benteng pertahanan Perak pada ketika barisan serangan mereka pula sentiasa mengancam kubu pertahanan Kelantan.

Sedang perlawanan menghampiri penghujungnya dengan harapan sebahagian besar hampir 300 penyokong setia Kelantan mengandaikan kedua-dua pasukan ini mampu mengutip satu mata, hantaran lintang pemain gantian, Ramzul Zahini kepada Norfarhan Mohamad pada minit ke-89 memastikan rembatan padu penyerang bernafsu besar Kelantan ini tepat menerjah gawang gol menewaskan Megat Amir Faisal Al-Khalidi buat kali ketiga.

Jelas suatu penghargaan bermakna buat pemain Kelantan sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan berlari ke penjuru stadium tempat dimana penyokong setia Kelantan berkumpul meraikan kejayaan menewaskan Perak di gelanggang sendiri malam tadi. Gelagat Indra Putra mencuri tumpuan bersalaman dengan penyokong Kelantan – membuktikan kehadiran penyokong setia Kelantan ke mana-mana venue perlawanan tidak dipandang sepi oleh pemain Kelantan. Itu yang kita mahukan.

Juga ucapan terima kasih buat rombongan penyokong setia Kelantan yang datang dari Kota Bharu dan Kuala Lumpur yang terus menyemarakkan lagi sokongan untuk pemain Kelantan. Sokongan berterusan dari penyokong setia Kelantan yang tinggal di sekitar Ipoh dan juga Lumut turut mewarnakan kejayaan Kelantan mengutip tiga mata berharga di Ipoh malam tadi. Mereka bukan sahaja ‘sentiasa menyokong’ bahkan lebih daripada itu sebenarnya.

Laungan Gomo Kelate Gomo bergema di Stadium Perak menenggelamkan sorakan Kejor Yop Kejor. Terima kasih kepada Kelab Penyokong Bola Sepak Perak yang cukup baik melayan tetamu – penyokong bola sepak Kelantan. Semarakkanlah bola sepak Kelantan. Gomo Kelate Gomo!!!!!

Barisan pemain Kelantan :

Mohd Halim Napi, Ahmad Azlan Zainal, Muhamad Zamri Ramli, Rizal Fahmi Abdul Rosid, Zairul Fitri Ishak, Muhd Badhri Radzi (K), Mohd Nafuzi Zain ( Wan Zaman Wan Mustapa), Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Ezrie Shafizi Sazali, Mohd Norfarhan Mohamad, Muhd Khalid Jamlus ( Ramzul Zahini Adnan).

Tiada ulasan: