Selasa, 7 Oktober 2008

Kelantan Ambil Jurulatih Dari England Hadapi Musim Baru

Ditulis oleh Utusan Malaysia
TUESDAY, 07 OCTOBER 2008 08:56

KUALA LUMPUR – Kelantan berazam menjadi pasukan elit dalam saingan bola sepak tempatan dan untuk permulaan pasukan itu menyasarkan satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kesungguhan pasukan Kelantan yang bersaing dalam Liga Perdana dibuktikan apabila skuad Kijang itu mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus, Ahmad Azlan Zainal dan pemain berpengalaman Che Hishamuddin Hassan.

Selain bintang veteran, skuad Kelantan turut menyandarkan harapan kepada bintang muda, Norfarhan Mohd. dan Daudsu Jamaluddin.

Pasukan Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat jurulatih dari England, Peter James Butler yang pernah melatih Sabah, pasukan Liga S di Singapura dan Liga Indonesia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, pengambilan pemain dan jurulatih yang berpengalaman itu bakal memberi peluang kepada Kelantan menjadi pasukan yang disegani.

Menurut Annuar, setakat ini sebanyak 22 pemain telah menandatangani kontrak dengan Kelantan dengan sebahagian besar terdiri anak jati Kelantan.

Katanya, Butler diberi masa 10 minggu untuk membuat persediaan rapi sebelum bermula musim baru termasuk mengadakan perlawanan persahabatan.

‘‘Dengan barisan pemain dan jurulatih yang kita ada, Kelantan bakal memasuki era baru bola sepak tempat untuk menjadi sebuah pasukan yang digeruni.

‘‘Kini kita sudah mula mengimpikan piala, sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

‘‘Kita tidak mahu lagi apabila disebut Piala Malaysia atau Piala FA hanya milik pasukan tradisi, kini Kelantan juga layak mengimpikan kejuaraan yang sama,’’ katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain dan jurulatih baru pasukan itu di Bukit Damansara, semalam.

Kelantan menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tempat ketiga.

Menurut Annuar, Kelantan memiliki kelebihan untuk menjadi pasukan yang disegani kerana ia bebas daripada masalah kewangan.

Katanya, kekuatan sumber kewangan akan menjadi pemangkin dalam membentuk skuad yang mantap dan konsisten pada sepanjang musim.

‘‘Ketika ada pasukan lain yang terpaksa bergelut dengan masalah kewangan, KAFA sebaliknya bebas dari belenggu masalah kewangan dan kami dapat membayar gaji, bonus dan ganjaran yang dijanjikan mengikut masa yang ditetapkan.

‘‘Dalam hal ini KAFA sentiasa menitik beratkan soal gaji dan kebajikan lain pemain kerana kita tidak mahu pemain dibelenggu masalah kewangan yang akan menjejaskan prestasi mereka.

‘‘Kita juga berbangga kerana walaupun harga tiket kita merupakan paling murah iaitu RM5 tetapi kutipannya mencecah RM1.6 juta pada musim lalu kerana kita mempunyai penyokong setia,’’ katanya.

Mengenai pemilihan Butler, Annuar berkata, jurulatih itu bukan sahaja akan melatih pasukan Kelantan tetapi memberi tunjuk ajar kepada jurulatih tempatan di negeri itu.

‘‘Kita yakin terhadap kemampuan Butler yang telah beraksi dalam 500 perlawanan dalam liga di England untuk membentuk jurulatih berwibawa di kalangan anak tempatan demi kemajuan bola sepak Kelantan,’’ katanya.

Tiada ulasan: