Rabu, 25 Jun 2008

SEMANGAT KIJANG MEMBARA

RedsFC - Unit Media KelateDotNet Kota Bharu

Kota Bharu - Setelah mengharungi 3 perlawanan, Kelantan semakin menunjukkan peningkatan apabila berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia, malam kelmarin.

Dua Gol jaringan Mohd Badri Radzi dan satu dari Farisham Ismail sudah cukup untuk Kelantan mengenggam 3 mata penuh buat kali pertama di Stadium Sultan Muhamad Ke-4.

Kemenangan skuad Kijang sedikit sebanyak menaikkan kembali moral pasukan yang semakin merudum sejak kebelakangan ini akibat masalah dalaman dan karenah pemain yang kurang disiplin.

Kejayaan Kelantan juga telah menyemarakkan kembali semangat penonton yang kecewa dengan persembahan terumbang ambing pasukan sejak permulaan saingan Piala Malaysia. Walaupun ada segelintir penonton mula menjauhkan diri dari stadium, tetapi ia tidak menjadi penghalang kepada Kijang untuk menewaskan melaka.

Prestasi pemain tempatan yang mula menunjukkan peningkatan amat melegakan penonton dan yang terutamanya ialah mampu membuatkan Jurulatih Kelantan, Regis Languesse tersenyum lebar kerana berjaya membentuk kembali moral pasukan yang terjejas.

Justeru itu, perlawanan menentang Terengganu tidak harus dipandang rendah kerana keupayaan pasukan Liga Super tersebut diakui antara yang terhebat di Liga Malaysia. Sementelah dengan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan di Gelanggang lawan, pasti ia menjadi azimat untuk menundukkan Kijang.

Perlawanan setempat diantara pasukan Pantai Timur ini pasti menjadi igauan buat peminat kedua-dua negeri kerana mengikut rekod, perlawanan membabitkan Kelantan dan Terengganu pasti menjanjikan saingan sengit dan dipenuhi aksi-aksi yang memukau.

Kehebatan perlawanan ini amat dinantikan peminat kedua-dua pasukan. Walaupun mengetahui saingan sangat getir, ia tetap tidak dapat memadamkan semangat penonton untuk ke stadium memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan masing-masing.

Walaupun dikejutkan dengan permintaan untuk keluar dari pasukan musim depan oleh penjaring prolifik, Mohamodou Mustopha, Kelantan tidak harus patah semangat dengan khabar tersebut. Semua pemain harus menunjukkan keyakinan agar tidak tewas semasa menetang skuad penyu.

Kelantan yang dibarisi barisan muda dan berbakat seharusnya menunnjukkan kepada pasukan luar bahawa mereka bukan jaguh kampung tetapi mampu mengejutkan pasukan "Giant" di tempat lawan. Semangat "Gomo Kelate Gomo" harus diterapkan supaya tidak mudah mengalah selagi wisel tamat belum dibunyikan pengadil.

Seperti yang dijangkakan, kesebelasan utama Kelantan semasa bertemu dengan Terengganu pasti tidak jauh beza dengan perlawanan sebelumnya. Posisi Penjaga Gol masih digenggam kemas oleh Mohd Shahrizan Ismail, dimana beliau pasti mahu membuktikan kepada majikan lamanya yang beliau masih lagi berbisa dan mampu menjadi benteng terakhir pasukan.

Posisi pertahanan juga tiada perubahan besar dimana posisi ini diketuai Jan Necas yang bergandingan baik bersama-sama Rizal Fahmi dan Farisham. Cuma yang menjadi masalah, adakah Sarudy sekali lagi akan diturunkan di bahagian kiri dan diberi penghormatan selaku ketua pasukan.

Umum juga sudah mengetahui, bahagian tengah Kelantan adalah yang terhebat di malaysia kerana selain mampu melorongkan bola kepada penyerang, kesemua pemain posisi ini mampu menjaringkan gol. Dibarisi Badri Radzi, Zairul Fitree, Khairan Eroza dan Amri atau Nidzad Ayub, diharap mereka mampu mengucar kacir pasukan lawan. Kehebatan mereka semua ditagih bagi memberi hadiah kedua kepada semua peminat dan pengurusan KAFA.

Walaupun Mohamodou Mustapha sudah hilang taring, Kelantan masih boleh menyandarkan harapan untuk menjaringkan gol kepada Enock Bentil dan pemain yang baru memberi impak kepada pasukan, Khairul Zal Azmi. Jika mereka menggunakan sebarang peluang yang terhidang, tidak mustahil Kijang mampu mengejutkan pasukan tuan rumah, jumaat ini.

Sememangnya setiap penyokong yang ada mengharapkan kejayaan pasukan Kelantan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 1 mata dari arena lawan. Oleh itu, kepada semua pemain Kelantan, tunjukkan semangat melawan yang tinggi semasa pertemuan ini.

Kejayaan pasukan amat ditagih kerana ia mampu menarik kembali sokongan kepada pasukan. Ayuh anak Kelantan, buktikan darah kita adalah darah orang yang mempunyai semangat kental dan tidak mudah tunduk dengan tekanan lawan. Hanya kita yang boleh menaikkan kembali kegemilangan skuad Kelantan agar terus digeruni di seantero Malaysia.

Tiada ulasan: